Keberkatan

Bismillah

Assalamualaikum.  Selamat pagi bakal bakal jenazah sekalian. Kaifa hal? Moga sihat wal-afiat dihindari dari kejahatan sekalian alam.

Isu hari ini jom kita bincang mengenai keberkatan. Apa itu berkat?

Berkat diambil daripada perkataan Arab iaitu “ BARAKAH ~ بركة “ . Dan perkerjaan “ mengambil berkat “ pula dikenali sebagai “ TABARRUK ~ تبرك “.

Sudah tentulah “ berkat “ yang ditanya itu bukannya “ berkat @ barakat “ sebagai mana yang difahami oleh masyarakat Jawa, iaitu “ nasi kenduri yang dibawa pulang sebagai bekalan “.

Oleh itu “ berkat “ ini ialah : BAHAGIA, BERUNTUNG, BERTAMBAH & BERKEMBANG .

Ar-Raghib Al-Isfahani mendefinasikannya sebagai :

البركة : ثبوت الخير الإلهي في الشيء

Ertinya : “ Keberkatan itu ialah tetapnya kebaikan Ilahi di dalam sesuatu “.

Maka jelaslah “ MENGAMBIL BERKAT “ pula ialah : “ Mengharapkan datangnya kebaikan daripada Allah Ta’ala dari sesuatu yang dipercayai mempunyai nilai-nilai keberkatan “.

Contoh-contohnya :

KEBERKATAN DI DALAM BELAJAR :

~ Sedikit yang dipelajari dengan ikhlas kerana Allah Ta’ala, membuahkan lagi ilmu-ilmu lain.
~ Secocok dengan ajaran Allah Ta’ala dan Rasul-Nya (saw).
~ Ianya membuahkan amal seterusnya iman.
~ Ianya merangsangkan lagi minat beribadat.
~ Ilmu yang disalurkan, dikembangkan pula oleh generasi selepasnya.

KEBERKATAN DI DALAM BERAMAL & BERIBADAT :

~ Amalan yang diamalkan itu secocok dengan Allah Ta’ala dan Rasul-Nya (saw).
~ Amalan itu IKHLAS kerana Allah Ta’ala.
~ Amalan itu membuahkan hasil yang selari dengan kehendak Islam.
~ Terasa manisnya beribadat.
~ Lahirnya ibadat itu setelah mempelajari Sunnah Baginda s.a.w.

KEBERKATAN MASA :

~ Berdoa di saat menjelangnya Subuh ( 1/3 daripada malam ).
~ Makbulnya doa di antara Azan dengan Iqamah.
~ Makbulnya doa di antara Azan Jumaat dengan selesainya khutbahnya.
~ Makbulnya doa khasnya di musim Ramadhan dan terutamanya di 10 hari-hari terakhirnya.
~ Makbulnya doa ketika melakukan Ibadah Haji khasnya ketika melakukan Wuquf di Arafah.

KEBERKATAN TEMPAT :

~ Beribadat di ketiga-tiga masjid : Masjidil Haram di Mekkah Al-Mukarramah, di Masjid an-Nabawi di Madinah Al-Munawwarah dan di Masjidil Aqsa di Palestin.
~ Berkatnya berdoa di Padang Arafah ketika Wuquf.
~ Berkatnya berdoa di Multazam, Di Safa & Marwah, Maqam Ibrahim, Telaga Zam-Zam dan sekitar kawasan haji.

KEBERKATAN PADA REZEKI DAN MAKANAN-MINUMAN :

~ Rezeki itu daripada sumber yang tidak haram dan tidak syubhat.
~ Rezeki itu sedikit dirasa, tetapi mencukupi keperluan.
~ Rezeki itu dengannya kita mampu membiayai keluarga dan menjaga kebajikan mereka menurut neraca syariat.
~ Rezeki itu tidak “ menggelapkan hati “ daripada cahaya Allah Ta’ala.
~ Rezeki itu tidak menyebabkan kita jauh daripada hidayah Allah Ta’ala.
~ Rezeki itu menyemarakkan lagi semangat untuk beribadat.

KEBERKATAN PADA USIA :

~ Usia yang ada dimanfaatkan untuk menegakkan perjuangan Islam.
~ Usia sedikit, tetapi mendatangkan manfaat yang besar – contohnya ulama’ silam, mereka mampu menghasilkan kitab-kitab yang berjumlah beratus-ratus jilid dan judul walaupun mereka tidak mampu hidup lama.
~ Usia itu memenuhi persoalan : “ Untuk apa kita dilahirkan ke dunia ini ? “.

Kerana keberkatan itu sendiri adalah urusan ibadat, maka sudah semestinyalah ianya ditentukan oleh MAHA PENGATUR SYARIAT iaitu Allah Ta’ala dan diterangkan pula oleh utusan-Nya iaitu Baginda Rasulullah s.a.w.

Maka jelaslah, berkatnya sesuatu itu bukannya ditentukan oleh semata-mata kata-kata ustaz itu dan ustazah ini, lebai itu dan lebai ini, kiyai itu dan kiyai ini MELAINKAN semuanya mestilah berdasarkan ketentuan syariat.

***

Justeru para sahabat, pentingnya keberkatan dalam kehidupan. Tanpa keberkatan Allah hilanglah redha Allah dan cahaya kehidupan. Terkadang sekecil-kecil perkara yang dilakukan kita anggap remeh sahaja. Sebagai contoh meniru dalam exam.

"Alah aku tiru dalam test dengan quiz je".

Ya, mudah sangat nak meniru. Sampai satu masa jadi tabiat. Sebab menganggap perkara itu ringan sahaja. Allahu. Risau sahabat keberkatan ilmu itu hilang sedikit demi sedikit.

Hari ini berkat itu tak nampak kat mana mungkin nanti Allah nak tunjuk bila lahirnya keturunan kalian nanti. Fikirlah kehadapan. Mahukah zuriat itu nanti melawan cakap kita? Sudah tentu tidak. Semua mahukan zuriat yang baik baik.

Seorang sahabat yang saya kasihi keranaNya, mempunyai adik beradik yang ramai. Ayahnya seorang sahaja yang bekerja, manakala ibunya pula seorang suri rumah. Sepanjang persahabatan kami, tidak pernah saya melihat dia mengeluh. Suatu ketika dia berkata "Aku cukup bahagia walau tidak punya duit berjuta, tapi ibuku memberikan kami makan minum yang cukup". Subhanallah.

Dia bawa amalan di sekolah ke rumah. Sentiasa sahaja bibirnya dibasahi dengan zikrullah. Saya kagum melihat manusia ini. Walau tidak berharta tapi Allah sentiasa di hati. Saya menasihati diri saya juga sahabat senantiasalah beringat bilamana kita mahu melakukan sesuatu yang Allah benci. Pause and Think for a while. Tanyalah pada diri "Allah redha atau tidak dengan apa yang aku lakukan ini?" Moga apa yang kita lakukan selepas ini ada berkatnya di sisi Illahi.


Fikir-fikikan. Selamat beramal. InshaaAllah semoga perkongsian hari ini bermanfaat.  


Rujukan ; :)

Popular posts from this blog

Ya Allah Selamatkan Agamaku...

Jihad Fisablillah

Yang Mana Satu?